Wednesday, September 1, 2021

Jana Pendapatan Lumayan dengan Satay




Menceburi bidang perniagaan bukanlah mudah, ia memerlukan pengetahuan dan mempunyai kesabaran kerana dalam berniaga, terdapat banyak perkara yang akan dihadapi. Ada sahaja perkara yang akan berlaku sepanjang berniaga, adakala perniagaan akan maju, mundur dan mahupun ditutup operasi atas dasar tidak dapat meneruskan lagi. Mungkin sebab masalah kewangan, ekonomi negara mahupun tiada keinginan untuk meneruskannya lagi.

Kisah seorang usahawan sate ini memberi inspirasi dimana beliau tidak pernah putus asa dalam berniaga walaupun pernah gagal ketika menjadi pembekal piala kerana pada ketika itu, permintaan piala berkurangan. Demi kelangsungan hidup, beliau yang kini dikenali sebagai Pengarah Satay Station, Zul Karnain Abdullah mencari peluang perniagaan yang baru dan perniagaan yang tidak pernah dimakan zaman iaitu berniaga sate.

(Zul Karnain Abdullah, Pengasas Satay Station)

Beliau melihat terdapat potensi ke atas perniagaan sate selain tidak dimamah zaman, sate juga merupakan hidangan yang sentiasa ada pada musim perayaan. Pada hari biasa, sate turut dihidangkan. Zul Karnain juga mempunyai pengalaman dalam menjual sate kerana beliau pernah menjualnya ketika masih dalam alam persekolahan.

Zul Karnain turut mendapat tentangan daripada pekerjanya mengenai perniagaan yang bakal mereka jalankan kerana kurangnya pengalaman dalam bidang makanan dan minuman. Pekerja beliau juga kurang bersetuju dengan idea perniagaan kerana perniagaan sate sudah ramai yang menjualnya. Namun begitu, Zul Karnain tidak terpengaruh dan yakin perniagaan sate mempunyai potensi yang tersendiri.

Pada tahun pertama menjalankan perniagaan sate, permintaan sangat memberangsangkan dan pekerja beliau mulai melihat potensi terhadap perniagaan tersebut. Sudah tentu, resipi yang dbuat menambat hati pelanggan dan terus membelinya. Sate yang dijual juga sangat berkualiti kerana Satay Station menggunakan daging segar dan bermutu tinggi. Resipi yang digunakan juga merupakan resipi warisan keluarga, yang tidak terdapat di mana-mana tempat. Perbezaan sate Satay Station dengan sate lain ialah sate mereka mempunyai saiz yang besar dan menggunakan kuah kacang resipi keluarga.



(Sate yang dihasilkan oleh Satay Station)

Kini, Zul Karnain telah melakar nama dalam dunia perniagaan sate. Satay Station Sdn Bhd akhirnya dapat dikembangkan dan mendapat pembiayaan daripada Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB). Satay Station kini mempunyai 11 cawangan dan majoriti berada sekitar Lembah Klang. Menariknya, mereka juga menjual sate tuna di mana syarikat usahawan Francais Sate Tuna dari Labuan menjadi pembekal  bahan mentah ikan tuna dan membekalkannya di semua cawangan Satay Station. Ini merupakan usahasama yang dilakukan antara Satay Station dan usahawan Francais Sate Tuna untuk saling melengkapi dan menguntungkan kedua-dua belah pihak.

Alamat Perniagaan: Satay Station Kg. Pandan (Satay House) No.55 Jalan A, Kg Pandan Dalam (Pusat)

Website: sataystation.blogspot.com

Facebook: Satay Station

No.Telefon: DL 03 - 9284 6607 / HL 019 - 383 6607 @ 019-282 7134

Rujukan:

http://kisahsidairy.blogspot.com/2017/05/sate-tuna-menu-terbaru-dan-pulangan.html

https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/10/198350/gagal-jual-piala-jadi-jutawan-sate

https://www.hmetro.com.my/agro/2017/06/240528/sate-tuna-sedap-berkhasiat